Takdir Si Yatim Piatu
Suatu hari dia didatangi oleh seorang
sahabat:
‘Ya
Rasulullah, dimana tempat ayahku diakhirat nanti?’ Tanya lelaki tersebut
perihal ayahnya yang meninggal dalam keadaan jahiliyyah.
‘Ayahmu berada
di Neraka.’ Jawab baginda. Lelaki tersebut merasa sedih dengan berita ayahnya
yang menjadi ahli neraka. Dengan nada memujuk nabi berkata:
‘Ayahmu dan
ayahku kedua-duanya berada di Neraka.’
Mahukah kalian tahu perasaan menjadi anak
yatim piatu? Jika kalian bertemu dengan seorang budak yatim piatu, saat kalian
bertanya perihal ibu bapanya, lihat matanya, lihat raut wajahnya. Andai matanya
berair, andai kalian melihat dia memalingkan muka, andai dia tunduk, andai dia
tersenyum kelat andai dia berdehem andai jua saat dia berbicara tersekat-sekat
suara, itulah tanda betapa sukar untuk menggambarkan perasaan seorang yatim
piatu.
Lantas, pernahkan kita terlintas dihati apa
perasaan baginda saat diajukan soalan begitu? Demi memujuk hati sahabatnya,
baginda mengatakan demikian. Seorang pemuda yang tidak pernah merasa kasih
seorang ayah, namun ditakdirkan ayahnya menjadi ahli neraka pula. Ayahnya
Abdullah, ‘hamba Allah’ namun seorang ahli neraka. Subhanallah, hanya Allah
yang Maha Mengetahui hikmah disebalik takdirnya. Jarang kita mendengar dari
matn hadith-hadith perihal ayahnya. Kenapa? Kerana tiada satupu n kenangan bersama
ayahnya yang boleh diceritakan. Namun, baginda bukan insan yang suka bercerita
tentang keluarganya. Baginda lebih memikirkan umatnya. Umatnya yang
mengkufurinya dan juga sebahagian lain mengimani pulalah yang banyak mengubat
hatinya agar terus sabar menjunjung risalah agung dari Allah.
Namun begitu, Allah masih memberinya nikmat
merasai manisnya kasih seorang ibu. Aminah hanya sempat menumpahkan kasihnya
kepada Nabi Muhammad hanya beberapa tahun. Sedih menghambat nabi sehingga
baginda menitiskan air mata saat menziarahi kubur ibunya. Sekali lagi, jarang
kita ketemu riwayat-riwayat yang menceritakan kehidupanya bersama ibunya,
Aminah. Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu terlalu perit jika dibandingkan
kehilangan seorang ayah. Apakah lagi yang membuat baginda bersedih? Ibunya jua
menjadi ahli neraka. Baginda pernah menangis dan bermohon kepada Allah agar
mengampuni ibunya, namun Allah menegah berbuat demikian, lalu menitis lagi air
matanya. Walaupun baginda seorang nabi, namun baginda juga mempunyai perasaan,
mempunyai rasa sedih, merindui belaian seorang ibu, Seperti kita, saat kita
kelelahan, penat dengan ujian hidup, bersegera kita mengunjungi ibu bapa kita.
Saat terpandang wajah mereka hilang seribu derita, hadir sejuta cahaya. Namun
itu tidak tertulis dalam kehidupannya walaupun baginda seorang nabi.
Tergambarkah difikiran kita perasaan
baginda saat ditegah dari berdoa untuk kedua-ibu bapanya? Tertulis bahawa ibu
bapanya ahli neraka sedangkan baginda pemimpin ummat manusia. Subhanallah, satu
percaturan hidup yang hanya Allah mengetahui, baginda tidak pernah merungut
tentang kehidupannya, walau apapun takdir kehidupannya, baginda tetap redo
menerima. Baginda patuh tanpa banyak soal apabila ditegah memohon ampun untuk
ibunya sedangkan itulah satu-satunya cara unutk baginda berbuat baik dengan
ibunya. Andai kita, saat kita kehilangan orang tersayang, mungkin Allahlah
mula-mula dipersalahkan. Nabi tidak pernah merungut kepada Allah kenapa tidak
diberikan hidayah kepada ibu bapanya. Hanya Allah yang Maha mengetahui hikmah
ketetapan takdirnya sebagai yatim piatu.
Tidaklah hairan lagi apabila baginda
memerintahkan supaya tetap mengasihani si yatim piatu hingga tuntutannya
diabadikan di dalam al-Quran kerana baginda juga pernah merasai peritnya hati
seorang yatim piatu. Kerana itu baginda menyuruh berlaku baik kepada mereka,
kerana dengan akhlak begitu, kesedihan mereka terubat, hati mereka terisi,
kasih dikongsi. Subhanallah, Itulah didikan yang dipilih Allah untuk
baginda.
Namun, Allah itu bukan Khaliq yang zalim.
Benar, bagi manusia, diuji seperti baginda amatlah berat sekali. Kadang-kadang
hidup sebagai yatim piatu seolah-olah kita berjalan diatas jambatan yang kecil
lagi bergoyang, tiada tali untuk berpaut. Apakah yang terjadi? Sedangkan
dihadapn sana
ada kebahagian yang menanti. Sukar sekali untuk meneruskan perjalanan
kehidupan. Tiada tempat untuk berpaut. Namun Allah menjaga baginda, walaupun
baginda kehilangan orang-orang yang disayangi, walau darah dagingnya juga
memusuhinya, ALLAH DAN JIBRAIL MENEMANINYA. Sentiasa sang Rabb mengirimkan
salam kepada baginda. Sentiasa Jibrail menemaninya setiap ketika. Kebersamaan
bersama Allahlah yang menyebabkan baginda terus thabat menyebarkan risalah
islam.
Walaupun beliau tiada ibu bapa, terdapat
ibrah yang sepatutnya kita petik dari setiap liku-liku kehidupan baginda. Andai
Allah mentakdirkan kedua ayah dan bondanya hidup sehingga baginda dewasa dan
berkahwin dengan Khadijah, tapi mereka meninggal sebelum risalah al-Quran
diturunkan, Pasti baginda lagi bersedih. Ibu dan ayah yang menatangnya bagai
minyak yang penuh, pergi meninggalkannya selama-lamanya..selama-lamanya tanpa
lagi ketemu lantaran mereka dimasukan ke dalam neraka. Bertambah perit hatinya
saat doa untuk mereka ditegah. Barangkali Allah ingin mengajar baginda
‘bersandarlah pada Ku’ kerana Allah tidak ingin baginda terlalu berharap pada
kasih sayang dunia, kasih sayang ibu bapa yang sebahagian isi dunia, mendidik
baginda agar tidak ‘bersandar pada dunia’. Jika tidak, mungkin baginda akan
terus merindui ibu bapanya, menyebut-nyebut perihal ibunya seperti baginda
menyebut-nyebit perihal isterinya Khadijah sesudah meninggal. Khadijah,
mengajarnya erti cinta, cinta yang tiada galang gantinya. Cinta yang menjadi
penenang jiwanya saat didatangi wahyu pertama. Cinta yang mengisi hatinya
dengan kasih dan cinta daripada seorang perempuan. Aku, lama menunggu hati
sedar untuk memahami sebuah hakikat kehilangan yang ditakdirkan baginda.
BEGITULAH ALLAH MENDIDKNYA, MEMTARBIYAHNYA
SEBELUM DIANGKAT MENJADI PENGHULU NABI PEMIMPIN SELURUH ALAM. RASULULLAH, SI
YATIM PIATU.

0 komentar:
Posting Komentar
Trimaksih Telah Berkunjung